Y.Bhg. Puan Sri Normah binti
Othman,
Puan Sri-Puan Sri,
Datin-Datin dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum w.b.t dan salam
sejahtera,
Saya juga tidak
bercadang untuk memberi ucapan panjang. Terlebih dahulu
saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa
PUSPANITA Kementerian Kewangan kerana sudi mengadakan
majlis ini untuk merasmikan penyerahan tugas pengerusi
PUSPANITA Kementerian Kewangan pada waktu yang sibuk
memandangkan esok merupakan Hari Bajet 2005. Majlis
ini juga memberi peluang kepada saya untuk bersama
Y.Bhg. Puan Sri Normah Othman yang telah menerajui
PUSPANITA Kementerian Kewangan selama 4 tahun dan
juga berkenalan dengan Puan-Puan Sri, Datin-Datin
dan puan-puan sekalian.
Saya telah
mendapat sedikit gambaran mengenai aktiviti PUSPANITA
Kementerian Kewangan daripada Setiausaha apabila beliau
datang berjumpa saya di pejabat tempoh hari. Aktiviti
yang telah dirancang untuk tahun ini akan diteruskan
dan saya akan berusaha untuk mengekalkan pencapaian
PUSPANITA. Sebenarnya Pengerusi tidak begitu penting
berbanding dengan sumbangan ahli-ahli semua kerana
kejayaan akan hanya tercapai sekiranya wujud semangat
kerja berpasukan dan tanpa komitmen dan penglibatan
semua, adalah sukar untuk PUSPANITA mencapai kemajuan.
Walau bagaimanapun,
apa jua yang kita lakukan, kita hendaklah rasa seronok
dan bangga kerana dengan itu barulah kita akan melakukan
sesuatu dengan sebaik-baiknya tanpa mengira ganjaran
atau pengiktirafan. Saya percaya nilai-nilai ini juga
merupakan prinsip puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan
terima kasih kepada Puan Sri Normah kerana menyerahkan
kepada saya sebuah persatuan yang mantap dan mempunyai
kedudukan kewangan yang kukuh. Dengan ini tugas saya
akan menjadi lebih mudah. Syabas juga diucapkan kepada
Puan Sri Normah kerana telah berjaya menerajui tampuk
pimpinan PUSPANITA Kementerian Kewangan dengan cemerlang
selama 4 tahun ini. Saya percaya usaha yang telah
Puan Sri dan puan-puan sekalian laksanakan selama
ini akan dikekalkan bagi meneruskan perjuangan PUSPANITA.
Saya yakin semangat memajukan persatuan, semangat
perpaduan dan pengorbanan dalam apa jua bentuk adalah
teras kejayaan PUSPANITA. Semoga kita sama-sama memastikan
PUSPANITA Kementerian Kewangan akan terus cemerlang
pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih.